Monday, November 30, 2009

Mengimbau Cerita Lama-Bekerja di MARDI Tahun 70an

Mengibau cerita dari Haji Azami Husin begini ;

Sebelum saya menceritakan perihal mogok dihari ke empat dan apa kesudahannya , biarlah saya ceritakan sedikit suasana kerja di MARDI di awal penubuhannya di antara tahun 1969 dan 1974. Pada masa itu mendapat kerja sangat susah. Peluang pekerjaan sangat sedikit kerana belum terjadi revolusi industri yang menyaksikan kilang-kilang dibuka. Negara belum lagi maju dan ekonomi berfokuskan pertanian. Harga getah dan bijih timah turun sementara kelapa sawit masih diperingkat awal dan koko belum bertapak lagi secara komersil.

Apabila MARDI ditubuhkan dan mula beroperasi di Serdang dan menawarkan pekerjaan BKS, maka berduyun-duyunlah mereka datang memohon pekerjaan. Mereka datang dari kawasan sekeliling seperti Serdang Baru/Lama, Dengkil, Kajang, Kampung Dato' Abu Bakar Baginda, Kajang, Jenderam dll. Bagi pegawai dan IMG yang sedia ada berkhidmat, mereka membawa saudara mara dari kampung, maka banyaklah orang Kedah, Kelantan, Perak, Negeri Sembilan dll yang datang bekerja dengan MARDI. Kebanyakan mereka lepasan sekolah (MCE/LCE/Darjah VI??) dan muda belia. Mereka menjadi BKS bergaji hari hanya dipotong KWSP - kemudahan dan kebajikan lain tiada langsung.

Masa itu bekerja pakai tangan dan kudrat tulang empat kerat. Tebas lalang/rumput - kudrat, racun serangga/rumpai - kudrat, korek parit/longkang - kudrat, menanam/buat batas - kudrat, cuci longkang - kudrat, korek lubang dan pasang pagar - kudrat pendek kata semua kerja dibuat secara manual langsung tiada bantuan mesin dan jentera. Masa itu tiada bush cutter, tiada case tractor, tiada boom sprayer, tiada mesin pemerah susu, tiada power sprayer malah gergaji rantai pun tiada, dan apa lagi jentera lain yang ada kini yang meringankan kerja. Kawan baik setiap pekerja adalah cangkul dan tajak dan batu pengasah, nasib baik kalau bekerja di kawasan semak diberi sebilah parang. Pakaian keselamatan seperti kasut boot panjang, apron, penutup hidung dan sarung tangan jangan harap. Pekerja di ladang ternakan pula perlu datang lebih awal untuk bagi makan, bersih kandang, perah susu, kutip telur, dll.

Masa itu belum ada Kekam untuk membela nasib pekerja, tiada NIOSH, tiada perkeso - engkau suka engkau kerja, engkau tidak suka boleh jalan, banyak lagi orang menunggu untuk mengambil tempat engkau. Pengurusan kerja di masa itu terpengaruh sedikit sebanyak dengan pengurusan ladang getah seperti Serdang Estate, Perang Besar Estate dan banyak lagi ladang getah di sekeliling MARDI di Kajang, Serdang, Dengkil dll. Sebab itulah pada masa itu ramai pegawai ladang yang datang bekerja memakai seluar pendek dan sebab itu yang pangkatnya tinggi sedikit dipanggil tuan dan yang bawah sedikit dipanggil encik. Bila jumpa pegawai, pekerja berdiri sambil mengucapkan selamat pagi tuan/encik.

Masa itu belum ada kerja kontrek seperti sekarang di mana bersih kawasan/potong rumput - kontrek, bersih pejabat - kontrek, ambil hasil - kontrek, semua kerja perlu dilaksanakan oleh pekerja secara manual samada kerja berat atau ringan. Sehingga bangunan kecil seperti setor, tempat kerja, jambatan kecil /titian dibina sendiri oleh pekerja.

Kerja disediakan sasaran yang misti disempurnakan - meracun setiap pekerja kena habiskan 20 tong (4 gelen - tong tembaga) sehari, buat longkang 25 rantai, circle weeding pokok kecil 100 pokok/hari, pokok besar 40 - 50 pokok sehari, menanam misti siap sebelah pagi, selagi belum siap tidak boleh tinggal kawasan, weeding pula perlu bersih satu ekar sehari, perah susu 10 ekur seorang sehari.

Waktu kerja tepat 6.30 pagi kena ada untuk roll call (masa itu 6.30 sama seperti 6.00 sekarang kerana Dr Mahathir belum jadi PM dan belum pusing jam setengah jam awal supaya waktu semenanjung sama dengan Sabah dan Sarawak), tiada maaf jika datang lambat atas apa sebab pun kalau sampai lewat akibatnya disuruh pulang dan tiadalah gaji pada hari itu, rehat 9.30 hingga10.00 pagi kemudian perlu berada semula ditempat kerja, tengahari 12.45 hingga 2.00 petang, tepat dua petang ambil lagi kedatangan siapa yang tidak hadir potong setengah kong (hari - tolak gaji), waktu balik lepas kerja 3.45 petang. Lebihmasa - jangan harap.

Kalau sakit minta surat dan pergi klinik, kalau dapat cuti sakit 2 hari, hari kedua tiada gaji.

Kebanyakan pekerja datang bekerja jalan kaki atau naik basikal, hanya beberapa orang sahaja yang datang dengan motorsikal. Tidak seorang pun pekerja yang ada kereta sendiri. Motorsikal pada masa itu sangat murah sebuah motorsikal second hand boleh dibeli dengan harga antara $150 - $200 dan motorsikal baru harganya antara $800 - $1200, tetapi tidak ramai yang mampu kerana pendapatan bulanan kadang-kadang tak sampai pun $100.

Untuk mendapat sasaran kerja yang ditetapkan dengan tepat dan memuaskan, pekerja diselia dengan begitu ketat sekali. Mereka diselia oleh mandor, JRA dan PPL dan PL. PPL menyelia kawasan yang lebih besar sementara kumpulan pekerja sentiasa diawas oleh Mandor yang selalu berada bersama mereka. PPL tidak akan berkomunikasi (masa ini belum lagi jadi perkataan Melayu - berhubung) terus dengan pekerja tetapi melalui mandor. PPL tidak boleh menegur dan memarahi mandor di hadapan pekerja kerana akan menjatuhkan air muka mandor tersebut.

Masa itu tiada SKT, tiada penilaian kerja , tiada anjakan gaji tiada Khidmat Cemerlang tiada imbuhan-imbuhan tiada sewa rumah dll.

Di dalam senario sebeginilah pekerja bekerja dengan MARDI. Walau pun gaji yang dibayar hanyalah $4.33 (masa itu belum ada RM dan lambang ringgit $ digunakan) mereka masih datang dan mahu bekerja dengan MARDI. Pada kemuncaknya hampir 350 orang BKS bekerja dengan MARDI (masa ni tidak ada pendatang haram dan warga asing tanpa izin - istilah Indon, Bangla dll belum wujud dan dicipta reka lagi). Bagi mereka MARDI adalah lubuk rezeki dan untuk bekerja dengan MARDI bermakna rezeki mereka untuk sebulan dua terjamin. Bila waktu terima gaji mereka tahu hari itu hari gaji kerana kerani gaji masuk pejabat membawa beg hitam diringi seorang dua anggota polis yang lengkap bersenjata.

Pada masa itu kerja sangat susah kerana tiada kerja kosong, kilang sangat kurang, pasar malam belum ada, stesen minyak sangat sedikit (hanya Shell dan Esso yang menunjol, Petronas belum lahir), pusat latihan kemahiran hanya di Dusun Tua.

Dari beratus yang datang meminta kerja dan diterima sebagai BKS termasuklah seorang anak muda yang bernama Sakor bin Talib yang pernah belajar disekolah agama (potensi ustaz).

Demikianlah mereka bekerja sebagai BKS. Setiap tiga bulan mereka akan diberhentikan selama tiga hari dan kemudian diambil semula bekerja. Perkara ini berulang-ulang sehingga ada ketika mereka menerima surat berhenti kerja serentak dengan surat tawaran kerja. Mereka yang bekerja dengan baik, berdisiplin dan rajin selalu diambil semula sementara yang malas, degil dan suka melawan akibatnya selamat jalanlah Romeo. Ada juga pekerja yang tidak diambil semula serta merta tetapi diambil semula lima atau enam bulan kemudian. Gaji mereka ialah $4.33 sehari dan ditolak KWSP - itu sahaja, Yang lain tiada. Kebajikan mereka tidak ada yang ambil berat. Kerja perlu disiapkan dan sasaran harus dicapai. Setiap masa perlu bekerja, bekerja dan bekerja. Jumaat dan Sabtu setengah hari, cuma boleh rehat kalau hujan lebat - hujan renyai-renyai kena kerja juga. Keadaan yang sama dihadapi oleh pekerja yang bekerja dengan pegawai penyelidik kerana pegawai penyelidik selalu turun ke ladang dan tempat kerja dan kerja semua perlu beres.

Perkakas yang mereka perlu ada ialah cangkul, tajak dan batu asah, tiada kasut boot ladang, tiada apron, tiada penutup muka tiada sarung tangan. Bagi yang bekerja di kawasan semak dan hutan kecil dibekalkan sebilah parang. Cangkul jangan dihilangkan kalau hilang kena beli ganti pakai duit sendiri. Tak ada cangkul tak ada kerja tak ada kerja tak ada gaji. Demikianlah nasib pekerja BKS di masa itu.

Demikianlah episod berhenti/ambil bekerja ini berjalan, diam tidak diam sudah ada pekerja yang bekerja sebagai BKS hampir 5 tahun belum nampak tanda-tanda akan diserap menjadi pekerja tetap. Ada yang sudah berkahwin dan punya anak. Ramai yang menghuni menyewa rumah di kawasan setinggan di kampung Pasir (tapak masjid UPM sekarang).

Pada satu hari seminggu dua sebelum bulan puasa tahun 1974 (Julai/Ogos) oleh kerana keadaan kewangan yang agak berkurangan MARDI telah membuat keputusan untuk memberhentikan SEMUA BKS. Berita yang menggemparkan ini telah menimbulkan rasa kelam kabut di kalangan pekerja. Bulan puasa akan tiba, tidak lama lagi akan raya , apa yang mereka nak buat, bagaimana nak bayar rumah sewa, di mana nak dapat duit nak beli makanan, apa lagi nak beli baju dan kasut raya. Mereka rasa MARDI tidak patut buat mereka macam ini selepas mereka memerahkan tenaga dan keringat untuk memajukan MARDI.

MARDI pula menyatakan mereka hanya BKS bukan IMG/pekerja tetap, mereka boleh diberhentikan bila-bila masa tanpa memberi apa-apa sebab dan dengan notis sehari. Keadaan memaksa MARDI memberhentikan mereka semua maka berhentilah.

Akibatnya berlakulah apa yang terjadi seperti yang saya ceritakan. Mereka telah melancarkan mogok yang diketuai oleh Sakor bin Talib.

*-------------------------------------------------**------------------------------------------**-----*

Pada 15/9/1974 mogok masuk hari yang ke empat. Pagi-pagi lagi seperti biasa mereka berkumpul di Long house untuk melepaskan geram dan menuntut keadilan. Lagu Inilah Barisan Kita dinyanyikan beramai-ramai berulang-ulang. Banyak pegawai dan staf (masa itu perkataan ini belum ada - cuma kakitangan) yang tidak datang bekerja. Sementara mahasiswa UPM dan pelajar IPS tidak kelihatan mungkin kena hadir kuliah atau ladang kongsi.

Pada pukul 2.00 petang pihak pengurusan kanan yang mewakili YB Menteri Pertanian, telah menghantar isyarat menjemput ketua mereka berjumpa dan berbincang. Mereka bersetuju untuk berjumpa dengan syarat perbincangan harus menjurus ke arah penyelesaian, perjumpaan pula tidak di ibu pejabat MARDI. Mereka memilih untuk berjumpa di pejabat bangunan orkid lama belakang long house di tapak Bangunan MTBIC sekarang. Saya tidak tahu siapa yang mewakili Pengurusan Kanan MARDI tetapi yang jelas En Ahmad Shafri Man adalah di antara mereka. Pemogok pula diwakili oleh Sakor dan Pak Ya (Yahaya Nafi) disertai beberapa orang lagi..

Lama juga mereka berbincang dan di antara tuntutan yang dikemukakan oleh pemogok adalah:

1. Semua BKS yang sudah kerja lama diserap menjadi pekerja tetap IMG.
2. Pekerja hendaklah dibayar COLA.
3, Semua pekerja hendaklah dibekalkan dengan pakaian seragam.
4. Semua pekerja hendaklah disediakan dengan pakaian keselamatan semasa bekerja seperti kasut boot ladang dll.
5. Semua pekerja disediakan tempat dan suasana kerja yang lebih selesa.
6 Tidak ada tindakan menghukum pekerja yang menjalankan mogok dan pemimpin pekerja tidak disenarai hitam.
7. Kemudahan seperti kenderaan dan pinjaman hendaklah disediakan kepada pekerja.
8. Pekerja yang bekerja selepas waktu pejabat dan cuti hujung minggu dan cuti am hendaklah dibayar elaun lebihmasa.

Wakil MARDI bersetuju berusaha memenuhi semua tuntutan ini tetapi memerlukan masa kerana banyak melibatkan implikasi peraturan dan kewangan. Pemogok memberi tempuh tiga bulan jika selepas masa itu tiada sebarang kemajuan mengenai segala tuntutan mereka, mereka akan turun semula untuk melancarkan mogok sekali lagi.

Pada 15/9/1974 tepat jam lima petang maka dengan rasminya mogok ditamatkan dan mereka semua pulang dengan hati yang lega dan puas. Pemogok memperolehi hampir semua tuntutan mereka walau pun ada yang terpaksa menunggu hampir 2 tahun.

Peristiwa mogok ini telah mengubah sistem pengurusan pekerja di MARDI. Yang jelasnya ialah MARDI telah bersetuju dengan penubuhan Kesatuan Sekerja untuk menjaga dan memperjuangkan nasib dan kebajikan pekerja. KEKAM lahir pada tahun 1975 dengan mesyuarat agung pertama diadakan di dewan besar Kolej Pertanian Malaya (UPM - dewan itu sekarang jadi bangunan pusat komputer pertama UPM)

Kesatuan sekerja ini dibuka untuk semua kakitangan yang bertaraf separa professional dan kebawah. Maka lahirlah KEKAM - Kesatuan Kakitangan Am MARDI Malaysia yang JK intrimnya diketuai oleh Sakor Talib dengan Aruah Malik Yet sebagai Setiausaha dan saya sebagai Penolong Setiausaha.

Dengan tertubuhnya KEKAM maka muncullah nama-nama besar pemimpin pekerja seperti Mohd Akib Man, Abd Rahman Abdullah, Jaafar Idrus, Abd Malik Yet, S Paramsoothy, Abd Aziz Mohd Said, Yaacob (Hilir Perak), Awaludin Arsam, Kamarudin Salleh, Zainal Abidin Daik, Mohd Farid Sulong, Ramli Omar, Ramlan (Kubang Keranji), Hj Nurudin Ibrahim dll yang saya tidak dapat namakan disini. KEKAM telah memperjuangkan nasib pekerja dan pekerja memperolehi manafaat dari perjuangan ini. KEKAM telah mengambil pendekatan berunding dengan konsep menang-menang hingga kini tidak timbul lagi ura-ura hendak mogok kerana tidak ada sebab lagi untuk pekerja mogok.

Saya dengar khabar bahawa tidak semua kakitangan sokongan menjadi ahli KEKAM sedangkan faedah yang diperolehi hasil perjuanagan KEKAM mereka nikmati bersama., sungguh dukacita dan menyedihkan kerana sepatutnya mereka 100% menjadi ahli KEKAM

Dengan kemajuan negara dan ekonomi yang sentiasa tumbuh sekarang ini, MARDI tidak lagi menjadi tumpuan pencari kerja. Yang sedang bekerja dengan MARDI pun bekerja separuh masa ditempat lain, jual burger, berniaga dipasar malam, ambil upah potong rumput, jadi tokey kraoke dll bagi menambah pendapatan hingga kadang-kadang ada dijenakakan bahawa mereka hanya bekerja dengan MARDI untuk duit poket sedangkan pendapatan utama mereka adalah di luar MARDI.

Displin pekerja sekarang nampak longgar sedikit dan mereka lebih bebas untuk berada ditempat lain diwaktu bekerja. Ada yang berani tidak datang bekerja berhari-hari walau pun berhadapan dengan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja. Di Serdang hanya seorang dua pekerja sahaja yang naik basikal, kebanyakkannya naik motorsikal dan banyak juga yang memandu kereta sendiri (kes suami isteri bekerja). Mereka mampu membeli motorsikal walau pun harganya melebihi lima ke enam ribu sebuah.

Maafkan saya jika saya berkata ladang dan lapangan penyelidikan dahulu di tahun 70an yang pagi-paginya riuh rendah dipenuhi pegawai penyelidik, ARO, RA dan pekerja bertindak mencorak langkah hala tuju penyelidikan sekarang senyap sunyi. Tiada lagi suara arahan dan sukatan catitan, tiada lagi kerja mencari ulat dan serangga, tiada lagi kerja mengukur kawasan dan menanam bahan uji kaji, tiada lagi bunyi cangkul dihentak membuat batas atau menggali lubang, tidak ada lagi bunyi hayunan tajak memotong dan menyabit rumput, tiada lagi bunyi tekanan hayunan pam penyembur racun serangga/rumpai, terdengar hanya sekali sekali deruan traktor membuat kerja-kerja tersebut. Tiada lagi riuh rendah bersama binatang ternakan kerana semua ternakan sudah tiada. Difahamkan penyelidikan dan ujikaji sekarang banyak menggunakan hitech dan komputer ITC memungkinkan penyelidikan tidak lagi perlu dijalankan di ladang dan lapangan cukup di makmal dan bilik bijak (smart room) berteknologi tinggi - Wallahualam.

Disudut sana terdengar bunyi bushcutter pekerja kontrek memotong rumput sesungguhnya banyak kerja-kerja yang dikontrekkan sekarang hinggakan kemahiran pekerja yang dahulunya satu keperluan jika ingin bekerja hilang sudah kini, parit longkang dikorek dengan case tractor, racun disembur dengan boom sprayer, ada pekerja masih menggunakan tong spray plastik 4 gallon tapi berapa tong yang dia siap sebelum dia berehat.

Pegawai tidak lagi dipanggil Encik dan Tuan sama seperti tidak adanya pegawai yang datang bekerja berseluar pendek dan berstokin panjang hingga kelutut. Kadang-kadang pekerja hanya beraku engkau sahaja dengan pegawai dan ucapan selamat pagi tuan tidak lagi kedengaran diganti kadang-kadang dengan Assalamualaikum wr wb. Pekerja tidak lagi beratur untuk mengambil gaji tunai atau gaji cek, wang gaji dimasukkan terus ke bank boleh cucuk bila-bila masa 24 jam sehari.

Bila difikir dan dikenang, kita semua pegawai dan kakitangan MARDI sangat beruntung sekarang. Berbagai kemudahan yang kita perolehi, kerajaan dan MARDI sangat bermurah hati dengan kita semua. Dengan gaji dan elaun yang boleh dikatakan mewah, dengan pinjaman kenderaan yang ada, cuti pelbagai (rehat, sakit, tanpa gaji, tanpa rekod, bersalin, haji dll), Elaun sewa rumah, Cola, pinjaman komputer, elaun lebihmasa, naik pangkat, anjakan gaji, khidmat cemerlang, khidmat setia, kursus minimum 7 hari setahun, mahir mengguna komputer dan boleh melayari internet, komputer boleh digunakan bila-bila masa di sudut komputer, elaun perjalanan, persidangan kakitangan sokongan, isteri bersalin isteri cuti suami pun boleh bercuti jaga isteri, tempuh perkhidmatan dinaikan ke umur 56 tahun menjadi 58 tahun sekarang (mungkinkah 60 tahun di masa hadapan??) dll. Dengan kemudahan dan kemewahan ini adakah hasil kerja dan produktiviti kita sama atau melebihi dengan pekerja pra mogok yang menggunakan kudrat dan tulang empat kerat untuk melaksanakan kerja dan tugas masing-masing 35 tahun dahulu - fikir, fikirkan lah.

Dengan itu tamatlah cerita mogok ini dari kacamata saya. Mungkin tidak tepat mungkin ada kesalahan, mungkin ada yang tertinggal, jika ada dan jika tuan mempunyai maklumat tambahan harap kemukakanlah.
Kepada mereka yang saya sebut di dalam cerita saya ini jika tidak benar dan rasa tersinggung saya pohon berbanyak maaf, kerana cerita ini adalah berdasarkan ingatan saya dan ingatan beberapa orang rakan dan maklumlah peristiwa mogok ini berlaku 35 tahun yang lalu.

Terima kasih Hj Suhaimie Talib, Mustakim Abd Razak, Rosli Sharif, Mohamad Abd Aziz, Krishnan kawan-kawan yang hadir dan mengambil bahagian semasa mogok 35 tahun dahulu dan menjadi rujukan saya.

Monday, November 16, 2009

Pengalaman Bekerja di MARDI-Bah.2

Saya telah mula bekerja di MARDI Jalan Kebun sejak November 1981. Saya dipindahkan dari MARDI Cameron Highlands setelah enam bulan bekerja disana. Perpindahan saya dari Bahagian Tanaman Saka ke Projek Pembangunan Negeri Selangor oleh sebab kesihatan.Disitu satu mula karrier dengan ramai RO. Ketua Stesen semasa itu ialah Dr.Lim Weng Hee.Saya di tempatkan di Projek Pembangunan Negeri Selangor Selatan - bertanggung jawab menjalankan penyelidikan di Beranang, Ulu Langat, Sepang. dan juga Negeri Sembilan. Besar juga kawasan coverage saya.
Projek projekl terlibat termasuk projek integrasi (itik,buah-buahan, sayur-sayuran) , padi di Broga, Berangan dan Jalan Enam Kaki, Projek koko bersama orang asli di Ulu Ponsoon dan Tg. Sepat. Projek Sayur -sayuran di Ulu Pelik, Sepang dan Projek Koko di Serting Negeri Sembilan.










Pembantu saya ialah Pn.Normah Ahmad dan En.Zainuri (sekarang di UITM) dan Yasin Ibrahim . Mereka ditempatkan di Pejabat Pertanian Cheras Bt.10,Manakala pembantu saya di Seremban ialah En Ismail Sariop dan Di Banting pula ialah En.Mat Jupri. Bos saya ialah Pak Nasrun Baginda Hamid.Bos atas sikit ialah Mr.Nathan.

Kerja di Projek Pembangunan sangat mencabar kerana kita berdepan dengan para petani . Saya di pertanggung jawabkan untuk menjalankan 'mulitilocational trials' terhadap vareiti-vareiti baru tanaman termasuk padi, koko dan sayur-sayuaran. Saban hari saya akan membuat lawatan ketapak tapak projek dengan kereta pejabat landrover.Hampir semua tempat di negeri Selangor kecuali Barat Laut dan Negeri Sembilan saya jelajahi dengan kenderaan tersebut. Setiap hari saya akan sampai rumah 8.30 malam keran projek kesatu projek sangat jauh. Masa itu tuntutan T & T hampir RM800-RM1,000 setiap bulan. Dapatlah bayar ansuran kereta. Walaupun projek banyak kami tidak mengeluh.Kadang kadang dapat makan free dirumah pak tani. Kalau datang mesti kena makan.

Di Beranang saya menjalankan projek tanaman padi secara tabur terus menggunakan vareiti Sekencang, Sekembang dan Kadaria.Alhamdullilah projek itu berjaya dan teknik itu dipakai oleh para petani. Secara teknikal nya pihak Kejuteraan telah modify menggunakan motor blower oleh Tenku Ahmad (Ted). Begitu juga klon klon koko yang di cuba semua berjaya di tanam oleh petani.

Apa yang membanggakan kami di Projek Pembanguan menjadi frontline worker. Kalau mesyuarat bersama Jabatan Pertanian, LPP, FAMA dan Agensi lain, MARDI memang terkenal.
Pernah suatu ketika ada wakil rakyat nak melawat projek, pihak Jabatan Pertanian turunkan label MARDI dan pakai label mereka.

Di MARDI pula RO2 projek Pembangunan memang antero.Didalam forum atau mesyuarat pegawai pegawai kanan tahun, RO2 Projek Pembangunan memang vocal dan sharp.Mereka berani mengkritik pihak atasan secara direct dan terang terangan demi kesejahteraan MARDI.Pihak atasan yang di ketuai oleh Dr.Hashim Yusof (Tan Sri, mantan KP) akan mendengar dan mengambil tindakan tindakan yang sewajarnya. Apa yang baiknya kami dengan bos- bos sangat rapat, dan bos menjaga anak buah nya.

Apa yang saya dapat komen ialah Pengarah dahulu sangat prihatin tentang projek projek yang dijalankan oleh anak buahnya. Mereka akan membuat jadual lawatan ke projek projek dan ingin tahu segala perkembanngan projek tersebut. Mereka akan tanya setiap treatment yang dijalankan dan apakah parameter yang di ambil dan kenapa.

Berbalik di MARDI Jalan Kebun, disitu ramai orang Jawa. Jadi saya dapat merasakan masakan mee jawa (Wak Kamsan). Di MJK ada ramai RO anataranya- Dr.Yusoh Saleh, Mah Sok Ying, P.Vimala (Nirmala Abdullah), Ramlah Mohamad, Melor Rejab (Dr.) Hashim Bakar (Hj).Dr.Lee Soo Ann, Halim Hamid dan Basiri Wagimin. RO baru semasa itu Fauziah ? (Entomologist) dan Abd. Razak (pathologist), Pengurus Ladang En Ramli.

Di MJK saya dapat belajar cakap Jowo sitit sitit- kerana kalau nak jumpa petani kena speaking Jowo -kabare wak, wes magan. Baru lah kita bercerita pasal projek.

Di MJK juga kami dapat menubuh kelab kebajikan secara rasmi. Saya ambil dan tiru perlembangaan dari MARDI Hilir Perak. Segala hasil stesen kami beli secara wholesale dan jual kembali kepada pekerja dengan untung sedikit. Begitu lah demi untuk membantu pekerja pekerja yang bermasalah kewangan.Selain itu kami bisne beras, dapat lesen dari LPN dan beras tersebut diberi kredit kepada kakitangan. Setiap bulan kami dapat untung dan emnambahkan pendapatan kelab.



Sunday, November 15, 2009

Pengalaman Bekerja di MARDI-Bah.1

Bermula kerjajaya saya di MARDI pada tahun 1981 setelah tamat pengajian ijazah sains pertanian . Tempat mula mendaftar diri ialah stesen MARDI Cameron Highlands. Semasa itu saya dikehendakki membuat penyelidikan di dalam buah-buahan temperat seperti strawberi, limau, loquat,pir,pisang kaki dan epal.







Cuaca di Cameron Highlands sangat sejuk ketika itu . Rumah kami tiada heater atau air panas.Malam-malam terpaksa tidur dengan tiga helai selimut dan kalau nak sembahyang subur kena jerang air panas dan campur sedikit air sejuk supaya jadi air suam, baru boleh ambil air sembahyang.; kalau tidak mengigil -gigil. Semasa itu kami masih bujang, kalau nak makan kena keluar stesen beli makanan. Kalau kalau masak, minyak akan beku di pinggan dan kuali,jadi kena pakai air panas untuk mencuci.


Semasa itu kami kerap kami pergi ke ibu pejabat di Serdang. Di stesen cuma dua kenderaan, satu Landrover jip dan satu lagi van VW combi. Saya selalu 'turun' ke Serdang atas sebab pentadbiran. Pada satu hari pemandu saya; Kalianan namanya tanya saya "encik tahu berapa selekoh ada dari Tapah ke Cameron Highlands"? Saya cakap" tak tahu" . "Encik mahu tahu?", dia tanya saya. "625 corner!" jawap nya. Begitu lah oleh dia kerana selalu sangat turun naik Cameron Highlands beliau sanggup kira berapa banyak corner yang ada dari bawah ke atas.


Bekerja di Cameron Highlands sungguh seronok. Ramai pelancong yang datang ke stesen dari dalam dan luar negeri. Cuaca disana begitu nyaman, kadang kadang tak terasa hari dah petang.
Saya enjoy bekerja disana dengan bunga bunga nya yang cantik. Saya bekerja di CH tak lama memandang kesihatan saya tidak dapat adapt cuaca disana. Disana saya masih teringat bekerja dengan En.Koh Weng Wah, En Embi (Pengurus Ladang-selalu pakai seluar pendek), Dr.Shukor Nordin, Pn. Ruwaidah (ARO) En Safarudin (telah bersara) , En Md.Noh (RA), En. Zainal (arwah) (pegawai kerani), En.Sayuti; En Fakih Mohamad. Pengarah saya ketika itu ialah Dr.Sharif Ahmad dan Ketua Cawangan ialah Dr.Tay Tian Hock.

Banyaklah saya dapat belajar di CH seperti mencantum limau satsuma, mandarin, tanam loquat, dan strawberi vareiti "Fresno dan 'Tioga'. Kalau harvest kobis tu makan tak habis , besar besar saiz nya.

Kalau kami nak shopping , kena pergi KL atau Ipoh. Supermarket di CH ketika itu tidak ada.Jadi pandai pandailah. Ada perkara yang mengelikan hati saya semasa itu. Ada seorang RA Azizan namanya. Ketika itu dia sedang menulis surat ke gofrend nya dan setiap kali menghantar surat ke pos opis apabila hendak membalasnya. Suatu ketika surat tersebut lambat dibalas oleh gofrend , dia mengamuk. Katanya "kita bakar lah pos ofis ni lah; simpan surat aku lambat lambat". Begitulah zaman dahulu tidak ada SMS atau internet.





Semasa bekerja di CH tidak banyak bahan rujukan cuma yang ada penulisan yang lama iaitu tahun 60an. Saya terpaksa menggunakan ilmu yang yang di pelajari di kolej dahulu dan setiap minggu pergi Serdang buat rujukan di perpustakaan. Lain lah pegawai sekarang bahan banyak di internet, taip keyword terus dapat.


Kemudian saya dipindahkan ke Stesen MARDI Jalan Kebun.

Monday, November 9, 2009

Langkah Berjimat Cermat

Dikabarkan dan diberitahu bahawa bajet pada tahun 2010 akan dikurangkan sebanyak 10%. Bajet stesen ini akan menguncup sebanyak 30-40% dalam belajawan mengurus. Oleh kerana stesen saya kena memberi perkhidmatan seperti kenderaan serta lain-lain kos termasuk minyak, tenaga kerja, perbatuan dan juga kerja lebih masa-memerlukan perbelanjaan yang cekap.
Amalan yang ada sekarang bahawa semua perkhimatan yang diberikan kepada PTJ di tanggung oleh stesen.Ini diakan berlaku pada tahun depan memandangkan bajet yang telah dimaklumkan , bahawa langkah berjaga-jaga supaya menarik 'handbrake' secara perlahan- lahan.


Selain overtime(OT) ; pengawal keselamatan juga mesti dilihat secara dekat supaya mereka yang terbabit tidak menggunakannya secara sukahati.Adalah dimaklumkan pengawal keselamatan setiap bulan telah mendapat OT secara percuma, jadi mereka perlu berhati-hati supaya tidak menggunakan peruntukan yang sewenang wenangnya.

Prinsip-prinsip pengurusan perlu di applikasikan iaitu;

P-Planning
S-Scheduling
R-Resources
D-Decision
C-Control
R-Replanning

0 comments:

Post a Comment