Monday, November 30, 2009

Mengimbau Cerita Lama-Bekerja di MARDI Tahun 70an

Mengibau cerita dari Haji Azami Husin begini ;

Sebelum saya menceritakan perihal mogok dihari ke empat dan apa kesudahannya , biarlah saya ceritakan sedikit suasana kerja di MARDI di awal penubuhannya di antara tahun 1969 dan 1974. Pada masa itu mendapat kerja sangat susah. Peluang pekerjaan sangat sedikit kerana belum terjadi revolusi industri yang menyaksikan kilang-kilang dibuka. Negara belum lagi maju dan ekonomi berfokuskan pertanian. Harga getah dan bijih timah turun sementara kelapa sawit masih diperingkat awal dan koko belum bertapak lagi secara komersil.

Apabila MARDI ditubuhkan dan mula beroperasi di Serdang dan menawarkan pekerjaan BKS, maka berduyun-duyunlah mereka datang memohon pekerjaan. Mereka datang dari kawasan sekeliling seperti Serdang Baru/Lama, Dengkil, Kajang, Kampung Dato' Abu Bakar Baginda, Kajang, Jenderam dll. Bagi pegawai dan IMG yang sedia ada berkhidmat, mereka membawa saudara mara dari kampung, maka banyaklah orang Kedah, Kelantan, Perak, Negeri Sembilan dll yang datang bekerja dengan MARDI. Kebanyakan mereka lepasan sekolah (MCE/LCE/Darjah VI??) dan muda belia. Mereka menjadi BKS bergaji hari hanya dipotong KWSP - kemudahan dan kebajikan lain tiada langsung.

Masa itu bekerja pakai tangan dan kudrat tulang empat kerat. Tebas lalang/rumput - kudrat, racun serangga/rumpai - kudrat, korek parit/longkang - kudrat, menanam/buat batas - kudrat, cuci longkang - kudrat, korek lubang dan pasang pagar - kudrat pendek kata semua kerja dibuat secara manual langsung tiada bantuan mesin dan jentera. Masa itu tiada bush cutter, tiada case tractor, tiada boom sprayer, tiada mesin pemerah susu, tiada power sprayer malah gergaji rantai pun tiada, dan apa lagi jentera lain yang ada kini yang meringankan kerja. Kawan baik setiap pekerja adalah cangkul dan tajak dan batu pengasah, nasib baik kalau bekerja di kawasan semak diberi sebilah parang. Pakaian keselamatan seperti kasut boot panjang, apron, penutup hidung dan sarung tangan jangan harap. Pekerja di ladang ternakan pula perlu datang lebih awal untuk bagi makan, bersih kandang, perah susu, kutip telur, dll.

Masa itu belum ada Kekam untuk membela nasib pekerja, tiada NIOSH, tiada perkeso - engkau suka engkau kerja, engkau tidak suka boleh jalan, banyak lagi orang menunggu untuk mengambil tempat engkau. Pengurusan kerja di masa itu terpengaruh sedikit sebanyak dengan pengurusan ladang getah seperti Serdang Estate, Perang Besar Estate dan banyak lagi ladang getah di sekeliling MARDI di Kajang, Serdang, Dengkil dll. Sebab itulah pada masa itu ramai pegawai ladang yang datang bekerja memakai seluar pendek dan sebab itu yang pangkatnya tinggi sedikit dipanggil tuan dan yang bawah sedikit dipanggil encik. Bila jumpa pegawai, pekerja berdiri sambil mengucapkan selamat pagi tuan/encik.

Masa itu belum ada kerja kontrek seperti sekarang di mana bersih kawasan/potong rumput - kontrek, bersih pejabat - kontrek, ambil hasil - kontrek, semua kerja perlu dilaksanakan oleh pekerja secara manual samada kerja berat atau ringan. Sehingga bangunan kecil seperti setor, tempat kerja, jambatan kecil /titian dibina sendiri oleh pekerja.

Kerja disediakan sasaran yang misti disempurnakan - meracun setiap pekerja kena habiskan 20 tong (4 gelen - tong tembaga) sehari, buat longkang 25 rantai, circle weeding pokok kecil 100 pokok/hari, pokok besar 40 - 50 pokok sehari, menanam misti siap sebelah pagi, selagi belum siap tidak boleh tinggal kawasan, weeding pula perlu bersih satu ekar sehari, perah susu 10 ekur seorang sehari.

Waktu kerja tepat 6.30 pagi kena ada untuk roll call (masa itu 6.30 sama seperti 6.00 sekarang kerana Dr Mahathir belum jadi PM dan belum pusing jam setengah jam awal supaya waktu semenanjung sama dengan Sabah dan Sarawak), tiada maaf jika datang lambat atas apa sebab pun kalau sampai lewat akibatnya disuruh pulang dan tiadalah gaji pada hari itu, rehat 9.30 hingga10.00 pagi kemudian perlu berada semula ditempat kerja, tengahari 12.45 hingga 2.00 petang, tepat dua petang ambil lagi kedatangan siapa yang tidak hadir potong setengah kong (hari - tolak gaji), waktu balik lepas kerja 3.45 petang. Lebihmasa - jangan harap.

Kalau sakit minta surat dan pergi klinik, kalau dapat cuti sakit 2 hari, hari kedua tiada gaji.

Kebanyakan pekerja datang bekerja jalan kaki atau naik basikal, hanya beberapa orang sahaja yang datang dengan motorsikal. Tidak seorang pun pekerja yang ada kereta sendiri. Motorsikal pada masa itu sangat murah sebuah motorsikal second hand boleh dibeli dengan harga antara $150 - $200 dan motorsikal baru harganya antara $800 - $1200, tetapi tidak ramai yang mampu kerana pendapatan bulanan kadang-kadang tak sampai pun $100.

Untuk mendapat sasaran kerja yang ditetapkan dengan tepat dan memuaskan, pekerja diselia dengan begitu ketat sekali. Mereka diselia oleh mandor, JRA dan PPL dan PL. PPL menyelia kawasan yang lebih besar sementara kumpulan pekerja sentiasa diawas oleh Mandor yang selalu berada bersama mereka. PPL tidak akan berkomunikasi (masa ini belum lagi jadi perkataan Melayu - berhubung) terus dengan pekerja tetapi melalui mandor. PPL tidak boleh menegur dan memarahi mandor di hadapan pekerja kerana akan menjatuhkan air muka mandor tersebut.

Masa itu tiada SKT, tiada penilaian kerja , tiada anjakan gaji tiada Khidmat Cemerlang tiada imbuhan-imbuhan tiada sewa rumah dll.

Di dalam senario sebeginilah pekerja bekerja dengan MARDI. Walau pun gaji yang dibayar hanyalah $4.33 (masa itu belum ada RM dan lambang ringgit $ digunakan) mereka masih datang dan mahu bekerja dengan MARDI. Pada kemuncaknya hampir 350 orang BKS bekerja dengan MARDI (masa ni tidak ada pendatang haram dan warga asing tanpa izin - istilah Indon, Bangla dll belum wujud dan dicipta reka lagi). Bagi mereka MARDI adalah lubuk rezeki dan untuk bekerja dengan MARDI bermakna rezeki mereka untuk sebulan dua terjamin. Bila waktu terima gaji mereka tahu hari itu hari gaji kerana kerani gaji masuk pejabat membawa beg hitam diringi seorang dua anggota polis yang lengkap bersenjata.

Pada masa itu kerja sangat susah kerana tiada kerja kosong, kilang sangat kurang, pasar malam belum ada, stesen minyak sangat sedikit (hanya Shell dan Esso yang menunjol, Petronas belum lahir), pusat latihan kemahiran hanya di Dusun Tua.

Dari beratus yang datang meminta kerja dan diterima sebagai BKS termasuklah seorang anak muda yang bernama Sakor bin Talib yang pernah belajar disekolah agama (potensi ustaz).

Demikianlah mereka bekerja sebagai BKS. Setiap tiga bulan mereka akan diberhentikan selama tiga hari dan kemudian diambil semula bekerja. Perkara ini berulang-ulang sehingga ada ketika mereka menerima surat berhenti kerja serentak dengan surat tawaran kerja. Mereka yang bekerja dengan baik, berdisiplin dan rajin selalu diambil semula sementara yang malas, degil dan suka melawan akibatnya selamat jalanlah Romeo. Ada juga pekerja yang tidak diambil semula serta merta tetapi diambil semula lima atau enam bulan kemudian. Gaji mereka ialah $4.33 sehari dan ditolak KWSP - itu sahaja, Yang lain tiada. Kebajikan mereka tidak ada yang ambil berat. Kerja perlu disiapkan dan sasaran harus dicapai. Setiap masa perlu bekerja, bekerja dan bekerja. Jumaat dan Sabtu setengah hari, cuma boleh rehat kalau hujan lebat - hujan renyai-renyai kena kerja juga. Keadaan yang sama dihadapi oleh pekerja yang bekerja dengan pegawai penyelidik kerana pegawai penyelidik selalu turun ke ladang dan tempat kerja dan kerja semua perlu beres.

Perkakas yang mereka perlu ada ialah cangkul, tajak dan batu asah, tiada kasut boot ladang, tiada apron, tiada penutup muka tiada sarung tangan. Bagi yang bekerja di kawasan semak dan hutan kecil dibekalkan sebilah parang. Cangkul jangan dihilangkan kalau hilang kena beli ganti pakai duit sendiri. Tak ada cangkul tak ada kerja tak ada kerja tak ada gaji. Demikianlah nasib pekerja BKS di masa itu.

Demikianlah episod berhenti/ambil bekerja ini berjalan, diam tidak diam sudah ada pekerja yang bekerja sebagai BKS hampir 5 tahun belum nampak tanda-tanda akan diserap menjadi pekerja tetap. Ada yang sudah berkahwin dan punya anak. Ramai yang menghuni menyewa rumah di kawasan setinggan di kampung Pasir (tapak masjid UPM sekarang).

Pada satu hari seminggu dua sebelum bulan puasa tahun 1974 (Julai/Ogos) oleh kerana keadaan kewangan yang agak berkurangan MARDI telah membuat keputusan untuk memberhentikan SEMUA BKS. Berita yang menggemparkan ini telah menimbulkan rasa kelam kabut di kalangan pekerja. Bulan puasa akan tiba, tidak lama lagi akan raya , apa yang mereka nak buat, bagaimana nak bayar rumah sewa, di mana nak dapat duit nak beli makanan, apa lagi nak beli baju dan kasut raya. Mereka rasa MARDI tidak patut buat mereka macam ini selepas mereka memerahkan tenaga dan keringat untuk memajukan MARDI.

MARDI pula menyatakan mereka hanya BKS bukan IMG/pekerja tetap, mereka boleh diberhentikan bila-bila masa tanpa memberi apa-apa sebab dan dengan notis sehari. Keadaan memaksa MARDI memberhentikan mereka semua maka berhentilah.

Akibatnya berlakulah apa yang terjadi seperti yang saya ceritakan. Mereka telah melancarkan mogok yang diketuai oleh Sakor bin Talib.

*-------------------------------------------------**------------------------------------------**-----*

Pada 15/9/1974 mogok masuk hari yang ke empat. Pagi-pagi lagi seperti biasa mereka berkumpul di Long house untuk melepaskan geram dan menuntut keadilan. Lagu Inilah Barisan Kita dinyanyikan beramai-ramai berulang-ulang. Banyak pegawai dan staf (masa itu perkataan ini belum ada - cuma kakitangan) yang tidak datang bekerja. Sementara mahasiswa UPM dan pelajar IPS tidak kelihatan mungkin kena hadir kuliah atau ladang kongsi.

Pada pukul 2.00 petang pihak pengurusan kanan yang mewakili YB Menteri Pertanian, telah menghantar isyarat menjemput ketua mereka berjumpa dan berbincang. Mereka bersetuju untuk berjumpa dengan syarat perbincangan harus menjurus ke arah penyelesaian, perjumpaan pula tidak di ibu pejabat MARDI. Mereka memilih untuk berjumpa di pejabat bangunan orkid lama belakang long house di tapak Bangunan MTBIC sekarang. Saya tidak tahu siapa yang mewakili Pengurusan Kanan MARDI tetapi yang jelas En Ahmad Shafri Man adalah di antara mereka. Pemogok pula diwakili oleh Sakor dan Pak Ya (Yahaya Nafi) disertai beberapa orang lagi..

Lama juga mereka berbincang dan di antara tuntutan yang dikemukakan oleh pemogok adalah:

1. Semua BKS yang sudah kerja lama diserap menjadi pekerja tetap IMG.
2. Pekerja hendaklah dibayar COLA.
3, Semua pekerja hendaklah dibekalkan dengan pakaian seragam.
4. Semua pekerja hendaklah disediakan dengan pakaian keselamatan semasa bekerja seperti kasut boot ladang dll.
5. Semua pekerja disediakan tempat dan suasana kerja yang lebih selesa.
6 Tidak ada tindakan menghukum pekerja yang menjalankan mogok dan pemimpin pekerja tidak disenarai hitam.
7. Kemudahan seperti kenderaan dan pinjaman hendaklah disediakan kepada pekerja.
8. Pekerja yang bekerja selepas waktu pejabat dan cuti hujung minggu dan cuti am hendaklah dibayar elaun lebihmasa.

Wakil MARDI bersetuju berusaha memenuhi semua tuntutan ini tetapi memerlukan masa kerana banyak melibatkan implikasi peraturan dan kewangan. Pemogok memberi tempuh tiga bulan jika selepas masa itu tiada sebarang kemajuan mengenai segala tuntutan mereka, mereka akan turun semula untuk melancarkan mogok sekali lagi.

Pada 15/9/1974 tepat jam lima petang maka dengan rasminya mogok ditamatkan dan mereka semua pulang dengan hati yang lega dan puas. Pemogok memperolehi hampir semua tuntutan mereka walau pun ada yang terpaksa menunggu hampir 2 tahun.

Peristiwa mogok ini telah mengubah sistem pengurusan pekerja di MARDI. Yang jelasnya ialah MARDI telah bersetuju dengan penubuhan Kesatuan Sekerja untuk menjaga dan memperjuangkan nasib dan kebajikan pekerja. KEKAM lahir pada tahun 1975 dengan mesyuarat agung pertama diadakan di dewan besar Kolej Pertanian Malaya (UPM - dewan itu sekarang jadi bangunan pusat komputer pertama UPM)

Kesatuan sekerja ini dibuka untuk semua kakitangan yang bertaraf separa professional dan kebawah. Maka lahirlah KEKAM - Kesatuan Kakitangan Am MARDI Malaysia yang JK intrimnya diketuai oleh Sakor Talib dengan Aruah Malik Yet sebagai Setiausaha dan saya sebagai Penolong Setiausaha.

Dengan tertubuhnya KEKAM maka muncullah nama-nama besar pemimpin pekerja seperti Mohd Akib Man, Abd Rahman Abdullah, Jaafar Idrus, Abd Malik Yet, S Paramsoothy, Abd Aziz Mohd Said, Yaacob (Hilir Perak), Awaludin Arsam, Kamarudin Salleh, Zainal Abidin Daik, Mohd Farid Sulong, Ramli Omar, Ramlan (Kubang Keranji), Hj Nurudin Ibrahim dll yang saya tidak dapat namakan disini. KEKAM telah memperjuangkan nasib pekerja dan pekerja memperolehi manafaat dari perjuangan ini. KEKAM telah mengambil pendekatan berunding dengan konsep menang-menang hingga kini tidak timbul lagi ura-ura hendak mogok kerana tidak ada sebab lagi untuk pekerja mogok.

Saya dengar khabar bahawa tidak semua kakitangan sokongan menjadi ahli KEKAM sedangkan faedah yang diperolehi hasil perjuanagan KEKAM mereka nikmati bersama., sungguh dukacita dan menyedihkan kerana sepatutnya mereka 100% menjadi ahli KEKAM

Dengan kemajuan negara dan ekonomi yang sentiasa tumbuh sekarang ini, MARDI tidak lagi menjadi tumpuan pencari kerja. Yang sedang bekerja dengan MARDI pun bekerja separuh masa ditempat lain, jual burger, berniaga dipasar malam, ambil upah potong rumput, jadi tokey kraoke dll bagi menambah pendapatan hingga kadang-kadang ada dijenakakan bahawa mereka hanya bekerja dengan MARDI untuk duit poket sedangkan pendapatan utama mereka adalah di luar MARDI.

Displin pekerja sekarang nampak longgar sedikit dan mereka lebih bebas untuk berada ditempat lain diwaktu bekerja. Ada yang berani tidak datang bekerja berhari-hari walau pun berhadapan dengan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja. Di Serdang hanya seorang dua pekerja sahaja yang naik basikal, kebanyakkannya naik motorsikal dan banyak juga yang memandu kereta sendiri (kes suami isteri bekerja). Mereka mampu membeli motorsikal walau pun harganya melebihi lima ke enam ribu sebuah.

Maafkan saya jika saya berkata ladang dan lapangan penyelidikan dahulu di tahun 70an yang pagi-paginya riuh rendah dipenuhi pegawai penyelidik, ARO, RA dan pekerja bertindak mencorak langkah hala tuju penyelidikan sekarang senyap sunyi. Tiada lagi suara arahan dan sukatan catitan, tiada lagi kerja mencari ulat dan serangga, tiada lagi kerja mengukur kawasan dan menanam bahan uji kaji, tiada lagi bunyi cangkul dihentak membuat batas atau menggali lubang, tidak ada lagi bunyi hayunan tajak memotong dan menyabit rumput, tiada lagi bunyi tekanan hayunan pam penyembur racun serangga/rumpai, terdengar hanya sekali sekali deruan traktor membuat kerja-kerja tersebut. Tiada lagi riuh rendah bersama binatang ternakan kerana semua ternakan sudah tiada. Difahamkan penyelidikan dan ujikaji sekarang banyak menggunakan hitech dan komputer ITC memungkinkan penyelidikan tidak lagi perlu dijalankan di ladang dan lapangan cukup di makmal dan bilik bijak (smart room) berteknologi tinggi - Wallahualam.

Disudut sana terdengar bunyi bushcutter pekerja kontrek memotong rumput sesungguhnya banyak kerja-kerja yang dikontrekkan sekarang hinggakan kemahiran pekerja yang dahulunya satu keperluan jika ingin bekerja hilang sudah kini, parit longkang dikorek dengan case tractor, racun disembur dengan boom sprayer, ada pekerja masih menggunakan tong spray plastik 4 gallon tapi berapa tong yang dia siap sebelum dia berehat.

Pegawai tidak lagi dipanggil Encik dan Tuan sama seperti tidak adanya pegawai yang datang bekerja berseluar pendek dan berstokin panjang hingga kelutut. Kadang-kadang pekerja hanya beraku engkau sahaja dengan pegawai dan ucapan selamat pagi tuan tidak lagi kedengaran diganti kadang-kadang dengan Assalamualaikum wr wb. Pekerja tidak lagi beratur untuk mengambil gaji tunai atau gaji cek, wang gaji dimasukkan terus ke bank boleh cucuk bila-bila masa 24 jam sehari.

Bila difikir dan dikenang, kita semua pegawai dan kakitangan MARDI sangat beruntung sekarang. Berbagai kemudahan yang kita perolehi, kerajaan dan MARDI sangat bermurah hati dengan kita semua. Dengan gaji dan elaun yang boleh dikatakan mewah, dengan pinjaman kenderaan yang ada, cuti pelbagai (rehat, sakit, tanpa gaji, tanpa rekod, bersalin, haji dll), Elaun sewa rumah, Cola, pinjaman komputer, elaun lebihmasa, naik pangkat, anjakan gaji, khidmat cemerlang, khidmat setia, kursus minimum 7 hari setahun, mahir mengguna komputer dan boleh melayari internet, komputer boleh digunakan bila-bila masa di sudut komputer, elaun perjalanan, persidangan kakitangan sokongan, isteri bersalin isteri cuti suami pun boleh bercuti jaga isteri, tempuh perkhidmatan dinaikan ke umur 56 tahun menjadi 58 tahun sekarang (mungkinkah 60 tahun di masa hadapan??) dll. Dengan kemudahan dan kemewahan ini adakah hasil kerja dan produktiviti kita sama atau melebihi dengan pekerja pra mogok yang menggunakan kudrat dan tulang empat kerat untuk melaksanakan kerja dan tugas masing-masing 35 tahun dahulu - fikir, fikirkan lah.

Dengan itu tamatlah cerita mogok ini dari kacamata saya. Mungkin tidak tepat mungkin ada kesalahan, mungkin ada yang tertinggal, jika ada dan jika tuan mempunyai maklumat tambahan harap kemukakanlah.
Kepada mereka yang saya sebut di dalam cerita saya ini jika tidak benar dan rasa tersinggung saya pohon berbanyak maaf, kerana cerita ini adalah berdasarkan ingatan saya dan ingatan beberapa orang rakan dan maklumlah peristiwa mogok ini berlaku 35 tahun yang lalu.

Terima kasih Hj Suhaimie Talib, Mustakim Abd Razak, Rosli Sharif, Mohamad Abd Aziz, Krishnan kawan-kawan yang hadir dan mengambil bahagian semasa mogok 35 tahun dahulu dan menjadi rujukan saya.

No comments:

Post a Comment

0 comments:

Post a Comment